KUALA LUMPUR, 30 Mac – Terima Kasih ….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berterima kasih kepada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang membantu melaksanakan misi membebaskan tiga rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf sejak Julai tahun lalu.

Najib berkata, bantuan dan sokongan diberikan Duterte membolehkan misi pembebasan itu berjaya dilaksanakan.

“Alhamdulillah, tiga lagi rakyat kita menjadikan semuanya lima orang selamat dan kini sudah berada dengan keluarga masing-masing.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ucapkan setinggi-tinggi penghargaan terutama kepada Presiden Filipina kerana saya tahu misi melepaskan mereka (tebusan) adalah atas usaha beliau sendiri.

“Beliau (Duterte) hendak pembebasan (mangsa culik) itu sempena hari jadi beliau yang ke-72, Ahad lalu. Beliau mahu ini (misi pembebasan) menjadi tanda keakraban hubungan Filipina dan Malaysia.

“Terima kasih pada Presiden Duterte atas usaha ini hingga mencapai kejayaan,” katanya pada sidang media selepas menemui tiga mangsa culik berkenaan di kediamannya di sini, pagi ini.

Fandy Bakran, 27; Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, dibebaskan Ahad lalu dan dibawa bertemu Perdana Menteri hari ini hasil inisiatif Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada tentera Filipina, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Wisma Putra, kerajaan Sabah dan KP1M yang membantu membawa pulang mangsa culik serta menguruskan pertemuan dengan keluarga. – WD MY