ALOR GAJAH, 9 Julai – TERNAK…. Menggunakan Teknologi sistem kumbahan canggih yang bakal digunakan dalam penternakan khinzir di Melaka dijangka mampu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk setempat dan penternak.

Cadangan penggunaan teknologi dari Jerman atau China di ladang ternakan khinzir di Paya Mengkuang, dibuat kerajaan negeri selepas melakukan kunjungan ke beberapa ladang, hari ini.

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee, berkata bagaimanapun projek berkenaan hanya akan dibangunkan jika semua 27 penternak di situ bersetuju dengan cadangan terbabit.

“Bagi mengatasi masalah pencemaran yang tidak pernah selesai sejak kerajaan terdahulu, kita menyahut cadangan kerajaan Pusat supaya mewujudkan ladang ternakan tercanggih yang menjamin kebersihan alam sekitar.

“Jadi, kita berhasrat mewujudkan satu sistem kumbahan berpusat menggunakan teknologi canggih bagi mengatasi masalah pencemaran air, bau dan alam sekitar di kawasan ini,” katanya selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan itu.

Terdapat 36 ladang ternakan khinzir yang diusahakan seramai 27 penternak di kawasan seluas 57 hektar di Paya Mengkuang, di sini.

Namun, kesukaran membuat pinjaman daripada syarikat perbankan menyukarkan mereka meningkatkan sistem penternakan yang mematuhi syarat ditetapkan Jabatan Veterinar, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Norhizam berkata, setakat ini terdapat kira-kira 30 ladang sudah mematuhi syarat pemerolehan lesen dan kaedah penternakan baik, namun sistem kumbahan masih perlu dipertingkatkan.

“Ada pelabur yang sedia membawa masuk teknologi berkenaan ke negeri ini dan sekiranya semua mereka (penternak) bersetuju, ia dapat mengatasi masalah penternak berdepan kekangan membuat pinjaman daripada bank. Tetapi, kita perlukan persetujuan semua dan bukan satu atau dua penternak saja.

“Apabila sistem kumbahan ini siap, penternak tidak perlu lagi bersusah payah mendapatkan pinjaman daripada bank dan hanya perlu membayar sewa bagi menggunakan sistem kumbahan yang disediakan. Sistem ini bukan hanya selamat, malah tidak menghasilkan bau,” katanya.

Sementara itu, pemilik ladang ternakan khinzir, Tan Boon Soon, 60, berkata dia sudah melabur banyak sejak menternak haiwan itu 28 tahun lalu sehinggalah mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“Apa juga cadangan saya bersetuju, tetapi sebagai penternak kami bergantung kepada persatuan penternak khinzir di kawasan ini,” katanya. – WD MY