MADINAH, 13 JULAI – BERTEMU……Rata-rata jemaah haji, pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di Arab Saudi tidak dapat menyembunyikan keterujaan mereka dapat bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di sini, semalam.

Kebanyakan yang ditemui hampir senada menganggap perjumpaan langsung tidak disangka itu sebagai suatu hadiah amat besar untuk mereka, dengan nasihat Seri Paduka supaya terus mengharumkan nama Malaysia tersemat rapi dalam hati masing-masing.

Jemaah haji, Rahimah Mat San, 65, berkata beliau amat gembira dan bersyukur diberikan peluang bertemu Seri Paduka, di sini, yang sebelum ini hanya dapat dilihatnya dari jauh.

“Saya orang Temerloh (Pahang), bukan senang nak jumpa Tuanku, saya dapat tengok dari jauh sahaja apabila Tuanku turun di Temerloh. Apabila Tuanku berkenan datang ke meja tanya saya dari mana, saya jawablah dari Temerloh.

“Rasa macam nak menangis pun ada, gembira dan syukur sangat kepada Allah,” katanya kepada Bernama, di sini, semalam.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira sejam berangkat ke Majlis Minum Teh Bersama Rakyat Malaysia, di sini, yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia.

Jururawat bertugas selama enam tahun di sebuah hospital, di sini, Siti Masyitah Tumin, 31, pula berkata beliau terharu melihat sifat peramah Seri Paduka yang sanggup turun dari pentas jamuan ke meja hadirin untuk beramah mesra.

RAKYAT Malaysia bergambar bersama Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Madinah, semalam.

“Tuanku memang sangat peramah, sangat merendah diri turun ke setiap meja bertanya khabar dan mengambil gambar dengan kami. Tentu kami berasa amat gembira dan ini memberikan semangat untuk kami terus berbakti kepada negara,” katanya.

Beliau yang berasal dari Kota Tinggi, Johor, berkata Al-Sultan Abdullah bertanya kepadanya bersama rakan jururawat yang hadir ke majlis mengenai pekerjaan mereka dan menasihati supaya terus berkhidmat dengan baik.

Pelajar jurusan Syariah di Universiti Islam Madinah, Muhammad Al Amin Zulkifle, 22, berkata beliau pada mulanya agak gementar untuk bertemu dengan Al-Sultan Abdullah, namun perasaan itu terus hilang dengan kemesraan ditunjukkan Seri Paduka.

“Tuanku bertanya belajar di mana dan belajar apa kepada saya serta rakan. Memang saya amat menghormati Tuanku dengan kemesraan ditunjukkan baginda,” katanya yang berasal dari Senai, Johor.

Al-Sultan Abdullah berangkat ke Arab Saudi sempena lawatan khas ke negara itu bermula semalam hingga 14 Julai ini atas jemputan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Seramai 30,200 jemaah haji mengerjakan Rukun Islam kelima itu pada musim haji tahun ini dengan dibantu 640 petugas Tabung Haji (TH). – WD MY