KUALA LUMPUR, 31 Okt – Teruskan Siasatan…..Tiada ketetapan akan dibuat bagi menghentikan Ketua Polis Negara (KPN) daripada meneruskan siasatan ke atas tiga bekas menteri yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan di Dewan Rakyat, minggu lalu kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata demikian dan mengulas selepas Lim Guan Eng (DAP-Bagan) meminta Dewan membuat ketetapan supaya siasatan berkenaan dihentikan kerana menyifatkan Parlimen adalah institusi terunggul di bawah Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak boleh buat. Bagan minta saya ruling (ketetapan) untuk hentikan KPN, saya rasa kita ada peraturan. KPN pun tertakluk kepada peraturan. Jika ada laporan polis, sudah tentu polis akan melakukan siasatan, itu terserah kepada KPN kerana mereka juga bertindak mengikut peraturan.

“Setiap Ahli Parlimen memang ada imuniti tetapi ia tertakluk kepada perkara yang diperkatakan di dalam Dewan. Imuniti bukan perkara mutlak, imuniti tertakluk pada Akta Hasutan dan ia sangat jelas dalam soal ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Polis membuka kertas siasatan terhadap tiga bekas menteri itu mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana didakwa mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – WD MU