PEKAN, MAC 31TERUSKAN… Datuk Seri Najib Razak berazam meneruskan legasi Allayarham Tun Abdul Razak yang melaksanakan pembangunan menyeluruh dan menyentuh semua lapisan masyarakat terutama golongan bawahan serta luar bandar.

Perdana Menteri berkata, beliau sentiasa menyematkan dalam dirinya supaya legasi ayahandanya yang melaksanakan pembangunan secara inklusif dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FELDA yang diasaskannya ketika menjadi Perdana Menteri kedua.

“FELDA dekat di hatinya, belum ada pemimpin menyimpan rumah model pertama FELDA di perkarangan rumah, sampai beliau hendak meninggal dunia pun beliau berpesan supaya ia dikekalkan dan mengingatkan semua, termasuk saya bahawa pembangunan FELDA di luar bandar adalah teras perjuangannya.

“Kita sebagai generasi seterusnya wajib teruskan perjuangannya, saya tahu bukan sahaja kita patut doakannya tetapi mahu perjuangan yang diasaskannya tidak mati tetapi hidup membara sampai bila-bila.

“Untuk itu kita perlu merencana program tambahan sebab dunia sentiasa berubah, dunia 60-an dan 70-an tidak sama dengan hari ini, kerana keadaan persekitaran berubah, tetapi semangat serta perjuangan tidak berubah sampai bila-bila pun sebaliknya dijadikan azimat untuk kita teruskan perjuangan,” katanya berucap merasmikan program Jimat Belanja Dapur (JBD) peringkat kebangsaan di Bandar Dara Chini, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menempelak cadangan pembangkang mahu membatalkan perjanjian dibuat dengan China sekiranya mengambil alih tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dibimbangi bakal menjejaskan negara termasuk peneroka dan pekebun kecil sawit.

“Mungkin dahulu tuan-tuan (peneroka dan pekebun kecil sawit) akan bertanya ada apa hubungan dengan dunia luar seperti China dan kesan dalam kehidupan seharian misalnya di (FELDA) Chini atau Yan (Kedah), saya hendak beritahu dunia sekarang tiada sempadan dan proses globalisasi berlaku dengan pantas.

“Contoh mudah peneroka FELDA keluarkan sawit dan hasilnya siapa beli? Kalau bukan 1.3 bilion orang di China dan 1 bilion orang di India yang sudah tentu meningkatkan harga. Bila naik yang untung sudah tentu tuan-tuan.

“Jangan dengar cakap pembangkang hendak batalkan semua kontrak dengan China, kalau dia batal, tentu China tidak mahu beli sawit kita menyebabkan harganya merundum.

“Di bawah pimpinan kini, hubungan kita dengan China baik dan saya bila buat keputusan, fikir mengenai orang FELDA Chini dan Yan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu terus menyokong BN kerana ia mempunyai agenda besar berbeza dengan pembangkang yang ada pemimpinnya yang pernah memimpin negara kini semakin ranum (berusia).

“Biarlah dia ranum, saya kerja lama dengan dia dan tahu perangainya. Dia tidak berhasrat untuk memajukan luar bandar, boleh tengok daripada segi rekod.

“Saya lebih dengan memperkasakan FELDA, beri pesawah padi. MADA dapat RM2.7 bilion sehingga 2020 sebab Tun Razak mula dengannya, Tan Sri Bad (Badruddin) kata tidak pernah dalam sejarah pesawah padi dapat RM200 tiap-tiap bulan serta insentif lain.

“Baru-baru ini di Tanjung Dawai, Kedah saya serahkan rumah kepada seorang nelayan bernama Encik Nazri yang menitis air mata kerana tidak sangka dapat rumah berkembar teres berharga RM45,000.

“Enam insentif untuk peneroka FELDA pun sudah diumumkan dan paling disambut baik adalah pembayaran tunai RM5,000 yang terus masuk ke akaun, bayaran khas RM1,500 juga diberikan kepada imam, bilal dan siak,” katanya.-MY WD