KINABATANGAN, 3 April – Teruskan Operasi…… Pihak Bomba meneruskan operasi mencari tujuh mangsa yang hilang dalam banjir lumpur di Ladang Senfo, dekat Tongod, ditumpukan pada lokasi rumah mereka yang tertimbus.

Bagi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pengiran, berkata ia susulan dakwaan seorang mangsa yang terselamat mengatakan mendengar suara di lokasi rumah tertimbus ketika kejadian, Jumaat lalu.

Seramai 26 anggota Pasukan Khas Operasi Taktikal dan Menyelamat (STORM) dihantar ke lokasi itu bagi melaksanakan operasi mencari.

“Semalam anggota berdepan kesukaran untuk masuk ke lokasi rumah tertimbus kerana kebanyakan jalan utama dan jambatan rosak, sekali gus melambatkan operasi.

“Jentera seperti jengkaut akan digunakan dalam operasi hari ini,” katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, sembilan beranak hilang selepas rumah mereka dihanyutkan banjir lumpur akibat tanah runtuh.

Pasangan suami isteri, Jalikha Malingkut, 50, dan suaminya, Abdul, 50, ditemui selamat keesokan harinya di Sungai Penangah, manakala tujuh anak dan cucu mereka berusia antara lapan hingga 18 tahun masih hilang.

Lokasi terbabit mengambil masa perjalanan kira-kira enam jam setengah dengan kenderaan menggunakan jalan ladang. – WD MY