KUALA LUMPUR, 17 OKT – BUKA…. Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd komited untuk membuka lebih banyak cawangan berkonsepkan ‘Superstore’ yang lebih kecil dalam usaha menawarkan perkhidmatan yang lebih bersasar kepada pelanggannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie, berkata sebelum ini Tesco lebih menumpukan cawangan besar yang berukuran lebih 3,000 meter persegi berikutan peraturan tersedia kerajaan Malaysia kepada pengendali runcit asing, namun ia berubah tahun lalu.

“Kami merancang untuk terus berkembang di Malaysia dalam format ini kerana kami percaya masih terdapat peluang pertumbuhan sejajar dengan pasaran runcit yang semakin berkembang pantas.

“Kajian pasaran kami juga menunjukkan bahawa pelanggan semakin kesuntukan masa untuk membeli-belah barang keperluan harian di gedung yang besar.

“Kini, pelanggan boleh menyelesaikan urusan pembelian barangan runcit secepat mungkin,” katanya berucap pada pelancaran pembukaan cawangan Tesco Ke-60 di Pusat Beli-Belah Wangsa Walk dekat sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Mengulas lanjut, Ritchie berkata, Tesco Wangsa Walk adalah cawangan pertama yang menggunakan kedua-dua aplikasi Scan&Shop dan kaunter Khidmat Sendiri Tanpa Tunai sepenuhnya.

“Selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah masyarakat tanpa tunai, kaunter ini juga menerima tujuh jenis e-dompet berbeza selain pembayaran menggunakan kad debit dan kredit,” katanya.

Aplikasi Scan&App membolehkan pelanggan mengimbas barangan membeli-belah mereka sendiri, selain menjejaki jumlah pembelian dalam bakul dan selepas selesai, terus ke Kaunter Khidmat Sendiri Tanpa Tunai untuk pembayaran.

Perkhidmatan ini boleh didapati di Tesco Kepong, Tesco Extra Ampang dan Tesco Wangsa Walk. – WD MY