PUTRAJAYA, 13 Jan – Selaraskan Semula…… Pihak Tabung Haji (TH) sedang menyusun semula penginapan, pengangkutan dan makanan untuk jemaah haji bagi tahun ini selepas mendapat kuota asal sebanyak 27,800 jemaah.

Menurut Datuk Seri Jamil Khir Baharom, pengembalian kuota itu sangat bermakna kerana sebelum ini hanya 22,320 jemaah sahaja dibenarkan menunaikan haji setiap tahun.

Katanya, atas sebab itu pihaknya kini sedang bekerja keras memantau beberapa maklumat terperinci yang diperlukan oleh jemaah pada masa akan datang.

“Penghujung bulan ini, saya dan Tabung Haji akan mengikuti mesyuarat tahunan haji anjuran kerajaan Arab Saudi.

“Melalui mesyuarat berkenaan, kita akan menyampaikan beberapa perkara mengenai jemaah haji di negara ini, selain membincangkan hal-hal teknikal seperti penggunaan biometrik dan perjalanan jemaah ketika di sana,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengenai rayuan kuota haji, Jamil berkata ia sudah diusulkan dan berjalan lancar, namun seperti kebiasaan, jawapan akan diumumkan lewat.

“Soal tambahan kuota ini boleh dikatakan sebagai satu isu sensitif kerana negara lain juga membuat rayuan yang sama.

“Sekiranya kita heboh-hebohkan mengenai perkara ini, sudah tentu negara lain yang tidak mendapat kuota tambahan akan menuntut hak yang sama,” katanya. – WD MY