KUALA NERUS, 28 Nov – Kekal…… Pihak Tabung Haji (TH) mengekalkan bayaran haji tahun depan pada kadar RM9,980 untuk setiap jemaah, walaupun berdepan peningkatan kos sebanyak RM19,550 seorang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata TH akan menanggung subsidi sebanyak RM9,570 bagi setiap jemaah.

“Jumlah keseluruhan subsidi yang akan ditanggung oleh TH musim depan adalah sebanyak RM200 juta berbanding hanya RM160 juta musim lalu,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-33, Musim Haji 1438 Hijrah, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah; Pengurus Besar Kanan Haji, Datuk Syed Saleh Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Jamil Khir berkata, jumlah subsidi yang ditanggung TH itu tidak meliputi perbelanjaan langsung untuk semua jemaah negara secara percuma termasuk penganjuran kursus bimbingan, buku dan risalah panduan, kos petugas, perkhidmatan perubatan serta prasarana stesen berlepas. – WD MY