TH Properties Nafi Tuduhan Terlibat Aktiviti Pengubahan Wang Haram

0
181

KUALA LUMPUR, 10 Nov – NAFI…… Pihak TH Properties Sdn Bhd (THP), anak syarikat pembangunan milik penuh Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini menafikan tuduhan penglibatannya dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Tuduhan yang tidak berasas ini telah dibuat oleh seorang blogger yang mengandaikan TH mempunyai peranan dalam aktiviti pengubahan wang haram yang dimiliki oleh Putera Al-Waleed bin Talal, kata THP.

Tuduhan itu dibuat berdasarkan kepada satu laporan berita pada bulan Mac 2017 yang menyebut Crestmount Capital, sebuah dana dari Timur Tengah yang dijalankan oleh Putera Khaled, anak lelaki kepada putera Al-Waleed bin Talal, telah membuat pelaburan sebanyak US$100 juta ke dalam Piety Investments, sebuah syarikat pemaju hartanah di Sydney.

“Dakwaan TH serta anak syarikatnya terlibat dalam pengubahan wang haram adalah palsu dan tidak berasas.

“TH dan anak syarikatnya berpegak kepada hak untuk mengambil tindakan selanjutnya dalam hal ini,” katanya.

TH mempunyai beberapa pelaburan dengan Piety Group dalam projek pembangunan kediaman di Sydney.

Semua pelaburan telah dibuat secara langsung oleh THP daripada dana dalaman, THP tidak pernah memohon atau memperolehi dana daripada Crestmount Capital mahupun pelabur-pelabur asing yang lain, jelas THP.

THP telah mendapat semua kelulusan daripada pihak berkuasa Malaysia dan Australia untuk projeknya di Sydney.

“THP tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang urusan (jika ada) antara Crestmount Capital dan Piety Group. Tuduhan bahawa dana dari Crestmount telah tercemar hanya dibuat oleh blogger terbabit sahaja, yang mana dia harus bertanggungjawab” kata THP.

Sebagai sebuah organisasi dengan tanggungjawab kepada para pendeposit, TH Group memandang serius tuduhan palsu yang boleh membawa kesan buruk kepada reputasinya dan mewujudkan kebimbangan tidak berasas di kalangan pendeposit.

“TH Group sentiasa memastikan bahawa perniagaan dan pelaburannya dijalankan dengan efektif, selaras dengan prinsip-prinsip Islam melalui tadbir urus korporat dan prinsip-prinsip perniagaan yang terbaik yang memberikan keutamaan kepada integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban,” kata THP. – WD MY