KAMPAR, 7 Jun – Bina…. Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihak Tabung Haji (TH) merancang membina kompleks haji di Makkah dan Madinah bagi memudahkan urusan jemaah haji dan umrah Malaysia melakukan ibadat di Tanah Suci.

Pengerusi TH itu berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah memaklumkan cadangan Malaysia kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ketika melawat negara ini, pada Mac lalu.

“Alhamdulillah, impian untuk menempatkan semua jemaah kita dalam satu tempat bakal terlaksana tidak lama lagi.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika ini sudah berada di Makkah bagi meninjau dan mengenalpasti lokasi tanah yang sesuai sebelum perjanjian dimeterai, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak Parlimen Kampar anjuran Yayasan Tabung Haji dan UMNO di Kompleks Rakan Muda Kampar di sini hari ini.

Abdul Azeez berkata, reputasi TH serta hubungan baik yan g terjalin sekian lama antara Malaysia dan Arab Saudi, memungkinkan pembinaan kompleks berkenaan dilaksanakan tidak lama lagi.

“Insya-Allah kita pasti (pembinaan kompleks) itu berlaku meskipun masih belum ada hitam putih dan masih dalam perbincangan

“Kita sama-sama berdoa supaya ia berlaku dan saya selaku Pengerusi TH mengharapkan ia berlaku untuk kemudahan jemaah dari Malaysia,” katanya.

Mengulas program yang berlangsung, Abdul Azeez berkata, tujuh Parlimen di Perak dipilih dalam menjayakan program berkenaan yang menerima RM300,000 untuk diagihkan kepada asnaf dan golongan memerlukan.

Katanya, jumlah agihan akan ditentukan oleh Parlimen masing-masing iaitu antara RM100 hingga RM300 mengikut jumlah penerima.

“Sebanyak 63 Parlimen disasarkan untuk menerima bantuan melalui program itu dan kita yakin akan mencapai sasaran 50 Parlimen sebelum sambutan Aidilfitri nanti, ” katanya. – WD MY