Kuala Lumpur, 29 Nov – LARANGAN…. Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan bahawa pihak kami telah mendapat surat makluman rasmi daripada Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri berkaitan larangan bergambar di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi oleh Kerajaan Arab Saudi.

Berdasarkan kepada surat tersebut, penguatkuasaan larangan ini dikeluarkan bagi memastikan ketenteraman beribadat, mengelakkan sebarang tindakan yang mencetuskan gangguan serta demi memelihara kesucian dua masjid suci tersebut.

Datuk Seri Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH berkata, tindakan proaktif diambil oleh TH dengan memaklumkan larangan ini kepada semua bakal-bakal haji semasa Kursus Asas Haji yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 2 Disember 2017.

Penerangan dan nasihat melalui laman media sosial akan turut dilakukan kerana secara berkala kerana ianya lebih cepat dan mudah.

Jemaah Haji Malaysia disarankan mematuhi segala peraturan semasa di tanah suci dan terus menjaga nama baik negara berdasarkan kepada pengiktirafan oleh Kerajaan Arab Saudi sebagai negara yang mempunyai jemaah haji yang berdisiplin dan mematuhi undang-undang, tambahnya lagi. – WD MY