KUALA LUMPUR, NOVEMBER 26: BOLA.. Thailand menepati ramalan muncul juara Kumpulan B Piala AFF selepas menewaskan Singapura 3-0 di Stadium Rajamangala, Bangkok sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Thailand menempah pertemuan separuh akhir berdepan Malaysia selaku naib juara Kumpulan A.

Aksi separuh akhir pertama akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini sementara perlawanan kedua di Stadium Rajamangala pada 5 Disember.

Pertemuan itu sudah pasti menarik buat kedua-dua pasukan dan ia bakal menjadi perlawanan ulangan final Piala AFF 2014 apabila Malaysia tewas dengan agregat 3-4.

Berdepan Singapura sebentar tadi, Thailand mendahului dua gol pada babak pertama hasil jaringan sendiri Irfan Fandi pada minit ke-12 dan Supachai Jaided (minit ke-23).

Adisak Kraison kemudian mengesahkan kemenangan bergaya skuad Gajah Perang apabila meledak gol ketiga pada minit ke-90.

Filipina mengiringi Thailand ke separuh akhir selaku naib juara kumpulan selepas terikat tanpa jaringan dengan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno.

Filipina akan berdepan juara Kumpulan A, Vietnam di peringkat separuh akhir pada 2 dan 6 Disember ini.-MY WD