BUKIT KAYU HITAM, 1 Jun – Setuju…. ┬áThailand bersetuju untuk membuka pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dekat sini, daripada 18 jam kepada 24 jam, selewat-lewatnya 1 Januari 2019.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan kebenaran itu diberikan kerajaan Thailand selepas fasa kedua ICQS di sini dijangka siap sepenuhnya 31 Disember 2018 nanti.

Mengulas lanjut katanya, melalui perbincangan dengan kerajaan Thailand itu, mereka juga bersetuju untuk terlebih dahulu membuka operasi pintu sempadan selama 20 jam selepas fasa pertama ICQS, dekat sini selewat-lewatnya pada 3 September 2018.

“Seminggu selepas lawatan saya ke sini pada 1 April lalu, saya diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memohon keizinan daripada kerajaan Thailand bagi kebenaran supaya ICQS di Bukit Kayu Hitam dibuka 24 jam.

“Hasil pertemuan itu, kerajaan Thailand bersetuju membuka daripada 18 kepada 20 jam selewat-lewatnya pada 3 September ini.

“Fasa kedua yang merangkumi keseluruhan ICQS akan disiapkan pada 31 Disember 2018 dengan operasi secara 24 jam dibuat pada 1 Januari 2019,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja sehari ke Kedah di sini sebentar tadi.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd Johari Baharum mengadakan lawatan ke tapak ICQS Bukit Kayu Hitam yang kini sedang dalam pembinaan. – WD MY