KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Cara……. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Cara ASEAN atau ‘The ASEAN Way’ yang berjaya membawa kestabilan dan kemakmuran di rantau ini berperanan sebagai model pembangunan terbaik untuk negara anggota dan negara sedang membangun.

Najib berkata model itu dilihat banyak pihak sebagai jauh lebih sesuai berbanding dilaksanakan pertubuhan serantau lain yang kini sedang berdepan masalah.

Beliau berkata, ASEAN kini diiktiraf sebagai penggerak utama dalam pembentukan politik, keselamatan dan ekonomi serantau.

Katanya, menerusi dialog termasuk Forum Serantau ASEAN dan Sidang Kemuncak Asia Timur, ASEAN membawa kuasa dunia berunding dan membincangkan isu semasa yang penting.

“ASEAN adalah peneraju dan penggerak Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau yang membawa peluang baharu kepada hampir separuh populasi dunia, merangkumi 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) global.

“Pada masa sama, kita berjaya mengekalkan semangat setiakawan, membuat keputusan secara konsensus, mengiktiraf kedaulatan negara anggota.

“Kita bersatu dalam ASEAN tetapi kita tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara jiran.” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Hari ASEAN anjuran Kementerian Luar di Suria KLCC, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut melancarkan setem memperingati Ulang Tahun ASEAN Ke-50.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand. Pengasas ASEAN ialah Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Kini ASEAN turut dianggotai Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.

Perdana Menteri juga menyifatkan sambutan ulang tahun ke-50 adalah peristiwa penting untuk dirinya secara peribadi kerana bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri adalah antara lima pengasas ASEAN yang menandatangani Deklarasi Bangkok. – WD MY