SHAH ALAM, 14 April – Bangunkan Aplikasi Mudah Alih……Theta Edge hari ini mengumumkan membangunkan satu aplikasi lawatan maya ke kota suci itu dengan aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh Theta Edge Bhd (Theta Edge), anak syarikat Lembaga Tabung Haji.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge Group, Shukor Karim berkata Theta Mobile Sdn Bhd (Theta Mobile) kini sedang membangunkan aplikasi mudah alih berkenaan bagi membolehkan umat Islam melawat tempat-tempat penting dalam Islam di dalam kota suci Makkah dan Madinah melalui lawatan maya 3D.

“Aplikasi ini akan membolehkan orang Islam yang ingin menunaikan haji dapat membiasakan diri dan meneroka kota suci itu secara maya sebelum ke tempat sebenar.

“Aplikasi itu, yang akan menjadi sebahagian daripada jenama sendiri syarikat, “MukminWay”, dijangka dibangunkan menjelang musim haji tahun depan (2017),” katanya.

Hari ini berlangsung satu majlis pelancaran tiga produk aplikasi mudah alih Theta Edge – MukminWay, MukminFon dan SalamMukmin.

Shukor berkata syarikat memerlukan masa untuk menyiapkan aplikasi mudah alih berkenaan sementara menunggu siapnya projek pembesaran Masjidil Haram di Mekah.

Beliau berkata MukminWay mendidik pengguna mengenai cara gaya hidup seorang Muslim selain sebagai panduan kepada bakal jemaah yang ingin menunaikan Haji.

“Aplikasi itu akan melengkapkan modul latihan yang dijalankan oleh Tabung Haji di pelbagai lokasi di seluruh negara,” katanya.

Mengenai MukminFon, beliau berkata ia merupakan kad sim prabayar bagi suara dan data yang membolehkan syarikat memenuhi keperluan komunikasi pelanggan mereka di Malaysia dan Arab Saudi.

“SalamMukmin, aplikasi yang dibangunkan oleh Hajjnet FZE yang berpangkalan di Dubai, disesuaikan oleh Theta Mobile untuk jemaah dari Malaysia ke Tanah Suci,” kata beliau sambil menambah bahawa kira-kira RM2 juta telah dilaburkan untuk membangunkan ketiga-tiga produk tersebut.

Syarikat juga merancang untuk melancarkan Mukmin Mall, aplikasi membeli-belah mudah alih bagi umat Islam, dan MukminPoints, program kesetiaan berasaskan mudah alih untuk pengguna, tidak lama lagi. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY