KUALA LUMPUR, 19 MAC – TANGGUNGJAWAB ……. YTL Corporation Berhad (YTL) berkata tiada asas untuk membuat kesimpulan bahawa syarikat itu bertanggungjawab terhadap kelemahan projek marina awam Pulau Mentagor, Perak.

YTL dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya pernah memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan bahawa mereka tidak lagi berminat untuk operasi marina berkenaan.

Katanya, keputusan yang dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan, dimaklumkan kepada kementerian itu pada September 2018 yang bertanya kepada pihak YTL sama ada masih berminat untuk beroperasi dan mengekalkan marina berkenaan.

“Oleh kerana ini adalah projek kerajaan, kami tidak dapat memberi komen mengenai keputusan kerajaan untuk bagaimana marina mahu dikendalikan.

“Walau bagaimanapun, kami ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang asas untuk menyimpulkan bahawa YTL harus dipertanggungjawabkan untuk kelemahan projek itu,” katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, yang meminta Kementerian Pengangkutan menyiasat YTL yang terbabit dalam projek pembinaan marina awam di Pulau Mentagor, Perak.

Kiandee dilaporkan berkata, projek diberi kepada YTL secara rundingan terus bernilai RM24.27 juta itu sepatutnya dibina di Lumut, Perak namun selepas cadangan syarikat YTL, ia dipindahkan ke Pulau Mentagor.

Bagaimanapun, marina awam itu dipercayai tidak pernah beroperasi dan tidak pernah digunakan langsung selepas dibangunkan kerana YTL tidak berminat lagi membangunkan pulau tidak berpenghuni berkenaan.

Mengulas lanjut, anak syarikatnya, Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL) mendapat kontrak Projek Pembinaan Marina dan Infrastruktur Berkaitan di Pulau Mentagor, Pulau Pangkor, daerah Manjung daripada kerajaan.

Menurutnya, projek itu siap pada 31 Julai 2007 dan diserahkan kepada pihak Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Katanya, pada 2009, YTL membuat cadangan kepada JLM untuk menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan untuk marina.

“Pada masa sama, kerajaan Perak juga menyatakan bahawa ia berminat mengendalikannya.

“Kami faham bahawa kerajaan memutuskan bahawa marina akan dipajak kepada kerajaan Perak untuk dikendalikan oleh majlis tempatan. Selepas itu, pembabitan kami dalam projek berkenaan berakhir,” katanya. – WD MY