KUALA LUMPUR, 10 April – Tiada Maklumat Mengenai Lelaki Etnik Uighur Masuk Ke Negara Ini ……. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini turut mengesahkan bahawa polis tidak menerima maklumat yang menunjukkan dua lelaki rakyat Turki etnik Uighur masuk ke negara ini melalui laluan sah.

Polis bagaimanapun telah memperhebat pemantauan di laluan-laluan haram di sempadan negara bagi mengesan kedua-dua individu terbabit yang disyaki merancang melakukan serangan ganas di Thailand.

“Tiada bukti mereka telah masuk melalui jalan sah tetapi kami sedang memanjangkan leher (memantau) di laluan haram,” katanya hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Sakib Kusmi berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan dua lelaki itu memasuki negara ini.

“Kami sentiasa berjaga-jaga jika mereka masuk melalui pintu sempadan negara tetapi setakat ini tiada rekod yang menunjukkan mereka masuk ke sini.

“Bagaimanapun, sekiranya kedua-dua lelaki itu masuk melalui laluan yang tidak diwartakan, ia memerlukan kerjasama daripada agensi keselamatan yang berkaitan untuk mengesan mereka,” katanya.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini telah menerima maklumat mengenai perkara itu dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga selain menjalankan pemeriksaan yang ketat khususnya berkaitan dokumen perjalanan di pintu sempadan negara.

Semalam, Gabenor Surat Thani, Wongsiri Promchana memaklumkan bahawa menerusi maklumat yang diterima daripada Pejabat Imigresen Thailand di Phuket, dua lelaki berkenaan sedang menuju ke Malaysia.

Mereka disyaki merancang melakukan serangan di Thailand termasuk di destinasi pelancongan popular seperti Phuket dan Koh Samui, yang dijangka sesak dengan pengunjung sempena Festival Songkran yang akan bermula 12 April ini.

Hujung tahun lalu, dua etnik Uighur China ditahan dan kemudian didakwa di Mahkamah Tentera Thai pada Februari tahun ini atas tuduhan terlibat dengan pengeboman sebuah kuil di Bangkok yang mengorbankan 20 mangsa dan mencederakan lebih 120 yang lain. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY