WASHINGTON, 2 APRIL – JAMIN… Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) menjelaskan bahawa Perlembagaan AS tidak menjamin bahawa banduan yang dikenakan hukuman mati ‘tidak merasa sakit’.

Keputusan itu membolehkan hukuman mati terhadap seorang pesalah kes bunuh dilaksanakan. Sebelum ini, dia memohon hukuman mati menerusi kaedah bilik gas beracun daripada suntikan maut kerana mempunyai penyakit jarang ditemui.

Russell Bucklew, 50, berhujah bahawa suntikan maut akan menyebabkan kesakitan teruk dengan memecahkan beberapa tumor dipenuhi darah pada tubuhnya disebabkan penyakit sejak kelahiran iaitu ‘cavernous hemangioma’ dan ia bertentangan dengan Pindaan Ke-Lapan Perlembagaan AS yang melarang hukuman kejam dan luar biasa.

Dalam keputusan yang ditulis hakim konservatif Neil Gorsuch, lima hakim mendapati Bucklew gagal memberikan bukti cukup untuk mereka membenarkan dia meminta mahkamah lebih rendah membenarkan hukuman hukuman menerusi bilik gas beracun. Difahamkan, hanya empat hakim liberal menerima rayuannya.

“Pindaan Ke-Lapan perlembagaan tidak menjamin banduan daripada kematian yang tidak menyakitkan, ia juga tidak dijamin untuk orang lain termasuk kebanyakan mangsa jenayah yang membawa hukuman mati,” kata Gorsuch merujuk kepada sejarah hukuman mati.

Keputusan itu semalam sejajar dengan satu keputusan pada 2015, mahkamah ketika itu menolak cabaran terhadap cara hukuman mati di Oklahoma dengan keputusan lima kepada empat. Dalam kes itu, mahkamah mendapati banduan yang mencabar cara hukuman perlu memberikan alternatif yang kurang menyakitkan.

Gorsuch yang dilantik Presiden Donald Trump pada 2017 berkata, tiada bukti menunjukkan hukuman alternatif yang dipilih Bucklew tidak begitu menyakitkan.

Mahkamah turut mengesahkan bahawa Bucklew sedang menunggu hukuman jenayah yang dilakukan lebih dua dekad lalu.

“Ya sejak itu, dia berjaya mendapat penangguhan menerusi satu tindakan undang-undang kepada tindakan undang-undang seterusnya,” kata Gorsuch. – WD MY