KUALA LUMPUR, OGOS 14: TIADA…Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dipersoal kerana tidak mengamalkan kebebasan bersuara berhubung isu pegawai perubatan, Dr. Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang mungkin dikenakan tindakan tatatertib kerana menulis surat terbuka kepada anak Perdana Menteri, Datin Marina Mahathir.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hak kebebasan bersuara bukan hanya untuk penyokong kerajaan masa kini tetapi juga kepada para pengkritiknya.

“Takkanlah baru mengkritik kenyataan anak Perdana Menteri terus nak diberi surat tunjuk sebab. Please walk the talk kerajaan PH!,” katanya dalam akaun Twitter miliknya.

Beliau mengulas mengenai tindakan Nur Ilyani yang dikatakan telah diadukan kepada Bahagian Pengaduan Awam kerana menulis surat terbuka dalam Facebook kepada Marina yang membantah pengiktirafan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Surat terbuka itu dibuat setelah Marina mendesak agar golongan LGBT turut diberikan hak sama rata dari sudut hak asasi.

Perkongsian status Nur Ilyani yang berkhidmat di Hospital Raja Perempuan Zainab II itu mendapat 4,000 Likes serta dikongsi sebanyak 2,700 kali.

Bagaimanapun status surat terbuka berkenaan telah dipadamkan kerana mendapat laporan dari netizen. Walaupun begitu, salinan skrin surat terbuka itu telah dikongsi di media sosial.-MY WD