Tiada Kesan Terhadap Jemaah Haji Akibat Konflik Qatar – Abdul Azeez

0
57

KOTA BHARU, 10 Jun – Diplomatik….. Konflik diplomatik membabitkan Arab Saudi dan Qatar ketika ini tidak akan menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) dalam mengurus 30,200 jemaah menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, tahun ini.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pergolakan di rantau itu tidak memberi kesan pada perjalanan dan kuota haji yang sudah diputuskan Arab Saudi sebelum ini.

beliau percaya tiada sebarang masalah atau kesan daripada krisis berkenaan dengan penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan pada 22 Julai ini.

“Bagaimanapun, saya mahu merayu kepada semua jemaah supaya mendengar segala arahan yang dikeluarkan TH dari semasa ke semasa bagi memudahkan penjagaan keselamatan mereka.

“Pada masa sama, saya sendiri akan mengetuai rombongan tahun ini bagi memastikan semua jemaah selesa, selamat dan kebajikannya dijaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada 3,000 penerima pada Program Ziarah Kasih Ramadan Al Mubarak Parlimen Kota Bharu anjuran Yayasan Tabung Haji dan UMNO di Sekolah Kebangsaan Tanjung Mas, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Pada majlis itu, seramai 1,500 penerima daripada golongan asnaf menerima zakat daripada Yayasan Tabung Haji, manakala 1,500 lagi menerima sumbangan daripada UMNO.

Azeez berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 65 Parlimen seluruh negara akan disalurkan sumbangan dan zakat menerusi program berkenaan, yang selari dengan program Jom Bantu Rakyat (JBR) dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Hari ini, kita sudah bergerak ke 27 Parlimen dan selebihnya akan diselesaikan sehingga malam Aidilfitri nanti bagi membolehkan penerima mendapat manfaat, sekali gus meringankan beban menjelang sambutan Syawal ini.

“Setiap Parlimen akan disalurkan sumbangan sebanyak RM300,000, yang mana penerima akan menerima zakat dan sumbangan antara RM100 hingga RM300, bergantung kepada kesusahan mereka,” katanya. – WD MY