KUALA LUMPUR, 29 Jun – Kena Hukuman Mahkamah…….. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang tidak mengenakan kompaun, sebaliknya terus mengheret ke mahkamah pesalah jalan raya yang melakukan enam kesalahan sepanjang dua minggu pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri 2016.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPJ, Datuk V Valluvan Veloo, berkata enam kesalahan itu ialah melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memotong dan tidak membenarkan memotong serta menggunakan lorong kecemasan.

Memotong merujuk kepada kesalahan memotong di lokasi berbahaya seperti di selekoh, manakala tidak membenarkan memotong merujuk kepada pemandu yang tidak membenarkan kenderaan lain memotong kenderaannya, yang mana ia boleh mengundang bahaya, seterusnya kemalangan.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan di peringkat pengurusan tertinggi JPJ untuk kelulusan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Enam kesalahan dinyatakan itu adalah antara penyebab utama berlaku kemalangan.

“Kompaun yang dikenakan sebelum ini dilihat tidak lagi efektif dalam memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya terutama pada musim perayaan. Justeru, JPJ bercadang mengenakan tindakan tegas, seterusnya membantu mengurangkan kes termasuk kemalangan maut dalam tempoh itu,” katanya pada sidang media Pelancaran Ops Hari Raya Aidilfitri 2016 di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, hari ini. – WD MY

LEAVE A REPLY