KUALA LUMPUR, 28 Ogos – KESESAKAN……Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pengguna Lebuh Raya Sungai Besi – Puchong berhampiran Bukit Jalil, di sini sekarang tidak perlu berdepan dengan kesesakan trafik teruk selepas pembukaan jejambat baharu sejak 30 Julai lalu.

Projek yang menelan kos RM78 juta itu, menyediakan laluan sepanjang 600 meter dan belokan kanan di bawah jejambat bagi pengguna dari Jalan Jalil Perkasa 1 serta dua jejambat pusing-U.

Tengku Adnan berkata projek naik taraf laluan berkenaan bagi menampung peningkatan trafik akibat kepesatan pembangunan.

“Penantian penduduk di kawasan ini serta pengguna lebuh raya, sudah berakhir dengan siapnya jejambat ini.

“Biarpun projek ini mengunakan pelan pembangunan yang baharu dan berbeza dengan pelan awal oleh pemaju terdahulu, namun hasil diperoleh dengan pembinaan jejambat ini, memberi manfaat besar kepada pengguna,” katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian pembukaan jejambat, di sini, pagi tadi.

 

Daripada kos keseluruhan itu, Tengku Adnan berkata, hampir RM16 juta digunakan bagi kos pengalihan kabel ulitili di kawasan projek terbabit.

“Ketika tempoh projek ini disiapkan, antara cabaran besar ialah mengalihkan jaringan kabel utiliti,” katanya.

Lebuh Raya Sungai Besi-Puchong ialah laluan tanpa tol yang dibina pada tahun 1997, bersempena Sukan Komanwel 1998. – WD MY