PUTRAJAYA, 26 Nov – Tiada Pekerja Asing…… Perbadanan Putrajaya (PPj) melarang penggunaan pekerja warga asing di bahagian hadapan (front liner) di semua premis milik perbadanan itu bermula awal tahun depan.

Naib Presiden Perkhidmatan Bandarnya, Datuk Azizi Ahmad Termizi, berkata larangan bagi pekerja di bahagian dapur yang memasak makanan dan mencuci di gerai makan serta pasar pula akan mula dikuatkuasakan Jun depan.

Azizi berkata, PPj akan mengambil tindakan tegas jika ada pengusaha yang gagal mematuhi arahan berkenaan, termasuk membatalkan lesen perniagaan mereka.

“Bagi premis yang bukan di bawah seliaan PPj, jika mereka melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen, akan diberi amaran serta turut dikenakan tindakan dibatalkan lesen perniagaan,” katanya kepada media selepas mengadakan pemeriksaan premis makanan di Presint 15, di sini malam tadi.

Operasi selama tiga jam bermula jam 8 malam itu disertai 51 penguat kuasa PPj dari Bahagian Kesihatan dan Persekitaran serta Undang-Undang yang memeriksa 13 premis makanan.

Azizi berkata, dalam operasi itu, PPj turut memberikan notis arahan tutup selama 14 hari kepada sebuah restoran dan menyita beberapa kerusi serta meja yang diletakkan di kaki lima kerana menghalang laluan orang ramai. – WD MY