PETALING JAYA,JULAI 13:HAJI….Kerajaan sudah tidak lagi menaja penghantaran jemaah untuk menunaikan ibadat Haji ke Makkah selepas akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibekukan.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, kerajaan tidak dapat menaja penghantaran jemaah Haji seperti sebelum ini apabila akaun syarikat pelaburan strategik itu dibekukan.

“Kita kena ingat tajaan (Haji) ini di bawah Yayasan 1MDB, tapi sekarang 1MDB dan semua akaunnya sudah dibekukan.

“Kalau nak pergi Haji siapa nak taja sekarang? Duit itu sudah beku, macam mana nak bayar? Ada kos untuk hantar orang pergi Haji ni,” katanya.

Pada 29 Jun lalu, dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 900 akaun yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB.

Dijangkakan jemaah haji tajaan Yayasan 1MDB akan berlepas ke Makkah di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri pada 14 Julai ini.

Pada 4 Februari lalu, perdana menteri sebelum ini Datuk Seri Najib Razak berkata, program yang diilhamkan olehnya pada 2011 itu sudah berjaya menghantar seramai 5,711 golongan agamawan serta pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi menunaikan ibadat Haji.

Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan berkata beliau tidak pasti mengenai jumlah orang yang terlibat dengan perkara berkenaan.

“Yang itu saya tak (berapa pasti). Saya kena semak (terlebih dahulu),” katanya.

Fuziah menambah, pihaknya akan memberikan jawapan yang lebih komprehensif mengenai perkara tersebut apabila sidang Dewan Rakyat bermula minggu depan.

“Tunggu jawapan. Itu adalah salah satu soalan yang akan dijawab,” katanya.-MY WD