KAJANG, 24 Mei – “Saya telah menghubungi beliau dan beliau telah minta maaf. Saya pun jawab
tiada maaf bagimu. Kesalahan telah dilakukan. Dia perlu menanggung akibatnya,” kata Naib Presiden
Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada seorang pemimpin UMNO bahagian yang menyebarkan
klip video ucapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu program tertutup baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, tindakan tegas akan diambil kepada timbalan ketua UMNO
bahagian itu yang mendakwa beliau menyebarkan klip video tersebut untuk anggota jawatankuasa bahagiannya
dan juga kumpulan Telegram (aplikasi chatting) timbalan-timbalan ketua UMNO bahagian di seluruh negara.

Ahmad Zahid ditemui media selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam
Negeri di mini stadium Maktab Penjara Malaysia, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, timbalan ketua UMNO bahagian itu akan dibawa ke
Jawatankuasa Pengurusan UMNO untuk tindakan selanjutnya.

Semalam, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Razali Ibrahim berkata
perbuatan individu yang menyebarkan klip video berdurasi tujuh minit itu sesuatu
yang tidak boleh diterima kerana telah menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan
ramai.

Razali yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata
kandungan video itu sebenarnya jelas kenyataan Muhyiddin untuk mempertahankan
Presiden dan parti dan tidak benar ada dakwaan yang mengatakan ia boleh membawa
perpecahan dalam UMNO.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY