BAGAN DATOH, 6 Ogos – Tidak Bertahan Lama….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada parti serpihan UMNO yang mampu bertahan lama kerana ia ditubuhkan atas rasa kekecewaan dan bukannya penyatuan.

Sehubungan itu Ahmad Zahid mengibaratkan parti serpihan UMNO yang bakal ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, umpama “menempah kubur sebelum maut” kerana ia ditubuhkan atas dasar kekecewaan.

“UMNO bukan dibina sebagai parti tepi jalan atau tong sampah tetapi ia diwujudkan sebagai sebuah parti penyatuan orang Melayu.

“Sejarah membuktikan pengasas UMNO sendiri ditolak oleh orang Melayu ketika menubuhkan parti lain dan ini menunjukkan sokongan terhadap parti keramat ini sentiasa kuat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datoh hari ini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh berkata, tidak mungkin ada parti serpihan UMNO boleh bertahan lama dan menggantikannya kerana ia ditubuhkan atas penyatuan orang Melayu bukannya atas dasar kekecewaan.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti itu berkata, sejarah politik sebelum ini sudah membuktikan bagaimana parti serpihan UMNO yang ditubuhkan berkubur, sekali gus menunjukkan sokongan orang Melayu kepada parti keramat itu masih kuat. – WD MY

LEAVE A REPLY