MANCHESTER, 10 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pembebasan mangsa culik Thien Nyuk Fun oleh kumpulan penculik di selatan Filipina tidak melibatkan pembayaran wang tebusan sebaliknya hasil rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dengan kumpulan penculik terbabit.

Menurut Ahmad Zahid, kejayaan membebaskan mangsa culik itu juga hasil kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Filipina.

“Penculikan telah dapat diselesaikan bagi seorang mangsa namun seorang lagi
mangsa belum dapat dilepaskan. Rundingan terus dijalankan oleh pihak kami, dan
tidak ada jumlah wang tebusan yang terlibat melainkan melalui
rundingan-rundingan oleh pihak kami.

Thien, 50, yang juga pengurus Restoran Ocean King di Sandakan, Sabah ialah antara dua yang diculik di premis itu pada Mei lepas. Seorang lagi ialah pelanggan restoran, Bernard Then Ted Fen, 39, dari Sarawak, yang belum dibebaskan

Tambah Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, “Kami yakin jika pihak penculik bermurah hati untuk tidak mengenakan syarat-syarat yang ketat, maka kami harap seorang lagi mangsa culik dapat dilepaskan dalam waktu yang terdekat.”

Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan empat hari ke United Kingdom, berada di sini kerana menghadiri jamuan malam bersama-sama diaspora Malaysia.

Hampir 200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di UK menghadiri jamuan itu. – Suraya Ahmad (WD MY)

.

LEAVE A REPLY