WASHINGTON, 28 Okt – SUDAH DISIARKAN…… Kesemuap rekod sulit yang baru disiarkan dipenuhi butiran menarik mengenai pembunuhan Presiden John F Kennedy (JFK) tetapi tiada pendedahan mengejutkan mengenai tragedi pada 22 November 1963 yang menggegarkan dunia itu.

Presiden Donald Trump mengarahkan penyiaran 2,800 rekod sulit pembunuhan JFK tetapi merahsiakan beberapa dokumen sensitif susulan tekanan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Keputusan saat akhir itu menyebabkan ramai sejarawan JFK kecewa dan menyemarakkan industri konspirasi mengenai kes tembakan presiden berkarisma berusia 46 tahun itu di Dallas, Texas.

“Saya kecewa. Kebanyakan dokumen yang disiarkan malam semalam sudah dilihat sebelum ini.

“Kami melihatnya dalam bentuk disunting sebelum ini. Dokumen yang amat penting, amat sulit, kebanyakannya tidak disiarkan,” kata penulis ‘A Cruel and Shocking Act: the Secret History of the Kennedy Assassination’, Philip Shenon.

Suruhanjaya Warren, yang menyiasat pembunuhan JFK, yakin Lee Harvey Oswald, bekas penembak tepat Marin, bertindak bersendirian tetapi rumusan itu gagal membendung spekulasi pihak lain juga terbabit.

Ratusan buku dan filem seperti ‘JFK’ pada 1991 meneliti banyak teori konspirasi, menuding jari kepada musuh Perang Dingin, Kesatuan Soviet atau Cuba, Mafia dan timbalan JFK sendiri, Lyndon Johnson. – WD MY