KUALA LUMPUR, 27 Mei – Jalan Singkat….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua lelaki Malaysia yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Filipina di Marawi, Mindanao, tiada langsung pendidikan agama, tetapi mahu mencari jalan singkat ke syurga.

Ahmad Zahid berkata, mereka tiada pendidikan agama, tetapi mahu mati syahid kerana terpengaruh dengan dakyah kumpulan militan dan rakan sebaya.

Dua rakyat Malaysia itu dipercayai antara 13 militan yang terbunuh dalam pertempuran di selatan Filipina.

Pertempuran itu berlaku apabila pasukan keselamatan Filipina menyerbu Marawi untuk memburu pemimpin Kumpulan Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, serta kumpulan Maute, yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh.

Zahid berkata, mereka mentafsir sendiri ayat al-Quran dengan menyelewengkan maksud sebenar sehingga terbabit dalam kegiatan keganasan.

“Mereka juga menjadi taksub dengan sesetengah individu yang menggunakan agama selain terpengaruh melakukan sesuatu yang terpesong daripada ajaran al-Quran.

“Kajian KDN (Kementerian Dalam Negeri) mendapati 87 peratus terbabit dalam keganasan tak ada pendidikan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Talaqqi dan Tadarrus 30 juzuk al-Quran Bersanad di Masjid Al-Hidayah, Sungai Penchala, di sini. – WD MY