KUALA LUMPUR, 18 JULAI – IKTIRAF…. Kelayakan asas pergigian daripada sekolah pergigian di Taiwan tidak pernah diperakui di bawah Akta Pergigian 1971.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang juga Presiden Majlis Pergigian Malaysia (MDC) merujuk kepada laporan berita bahawa majlis itu menarik balik pengiktirafan tujuh buah sekolah pergigian Taiwan daripada jadual kedua akta berkenaan.

“MDC ingin menjelaskan bahawa in tidak benar kerana kelayakan asas pergigian dari sekolah pergigian Taiwan tidak pernah diiktiraf di bawah Akta Pergigian 1971.

“Justeru, ia tidak pernah disenaraikan di bawah jadual kedua akta itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.

Bagaimanapun, katanya, pendaftaran graduan pergigian dengan kelayakan yang tidak diiktiraf termasuk dari institusi pergigian Taiwan mungkin dipertimbangkan di bawah Seksyen 12(3) atau Seksyen 12(9) Akta Pergigian 1971 sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan MDC.

Dr Noor Hisham berkata, ketika ini terdapat 139 graduan dari sekolah pergigian Taiwan yang tidak diiktiraf sudah didaftarkan dengan MDC selepas memenuhi kriteria ditetapkan.

Berikutan itu, kesemua 139 graduan itu dibenarkan mengamalkan profesion mereka di Malaysia. – WD MY