VALETTA, 30 Nov – Persoalan mengenai kedudukan kerusi barisan kepemimpinan UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO bulan depan turut diaju kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang medianya.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, tiada perubahan kedudukan kerusi barisan pemimpin UMNO. ” Saya tidak nampak adakan perubahan tempat duduk, Timbalan Presiden mesti duduk di sebelah kanan Presiden dan Naib Presiden satu mesti duduk di sebelah kanan Timbalan Presiden, begitu juga Naib-naib Presiden yang lain saya tidak nampak sebarang perubahan, ianya mesti dihormati kerana ianya merupakan hirarki politik dalam struktur pentadbiran kerajaan,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak menghormati perlembagaan dan peraturan dalam parti.

Dalam pada masa itu, Ahmad Zahid memberitahu bahawa Malaysia dipilih menjadi tuan rumah CHOGM 2020.

Pemilihan Malaysia selaku tuan rumah CHOGM 2020 termaktub dalam pernyataan Malta yang dipersetujui oleh Ketua-ketua negara Komanwel pada akhir sidang kemuncak itu.

Ahmad Zahid berkata, pemilihan itu adalah satu lagi pengiktirafan buat negara. ” Apa yang dibangkitkan di dalam CHOGM yang akan datang itu tergantung kepada apakah isu yang timbul ketika itu tetapi sebelum itu pada 2018 CHOGM tuan rumah oleh United Kingdom”, katanya.

Ketua-ketua negara Komanwel turut memutuskan beberapa perkara penting dalam pernyataan yang dikeluarkan. ” Tentang soal keselamatan dan keamanan di mana soal-soal yang berkaitan dengan radikalism, militansi dan juga keganasan telah dimasukkan sebagai asas kepada kestabilan negara-negara komanwel,” tambah Datuk Seri Zahid lagi.

Pernyataan mengenai perubahan iklim turut dikeluarkan. Pada dasarnya, setiap negara anggota bersetuju menangani isu itu yang memberi kesan langsung kepada 31 negara Komanwel.

Pernyataan juga menetapkan, semua negara anggota perlu melakukan usaha ke arah merealisasikan pembangunan mampan menjelang tahun 2030.

Negara anggota yang bergantung kepada sumber ekonomi daripada hidrokarbon, lautan dan penerokaan pendapatan melalui marin perlu memastikan ia dilestarikan untuk generasi akan datang. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY