KUALA LUMPUR, MAC 9 –TIADA…Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa tiada siapa harus tercicir dalam arus pembangunan negara. Tambahan lagi apabila dapatan mutakhir Tabung Matawang Antarabangsa (IMF) menunjukkan bahawa Malaysia kini berada dalam landasan ke arah mencapai ekonomi maju.

Beliau turut memberitahu rakyat negara ini boleh mencapai ekonomi yang maju bersama Transformasi Nasional 2050 (TN50)

“Hari ini ketika saya mengamati telefon bimbit, saya mendapati IMF telah mengeluarkan dapatan terkini yang menyatakan Malaysia berada dalam landasan yang tepat untuk muncul sebagai ekonomi maju, ekonomi itu berada dalam kedudukan yang kukuh tetapi saya tidak mahu memikirkan bahawa segala-galanya berada dalam keadaan baik sekali.

Saya ingin memastikan bahawa setiap individu dalam masyarakat kita mempunyai seseorang untuk membantu mereka…saya percaya kepada pembangunan yang lebih saksama, pembangunan mesti menjangkau setiap individu,” katanya dalam program ‘Jom Bersama Najib,’ anjuran CIMB Bank di sini semalam.

Najib berkata, organisasi dan yayasan boleh melakukan banyak perkara untuk membantu kerajaan bagi menangani mereka yang terpinggir dan seterusnya membantu mereka untuk berdikari.

“Justeru, kerajaan bekerjasama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor swasta untuk mengemblengkan sumber,” kata beliau.

Pada majlis yang dianjurkan sempena Tahun Memperkasakan Wanita 2018, Najib berkata harus ada penglibatan maksimum wanita di setiap peringkat dalam masyarakat untuk membolehkan negara berkembang maju.

“CIMB menunjukkan prestasi yang baik sebagai sebuah bank, anda memperoleh semakin banyak keuntungan, jadi saya gembira dan anda mempunyai rekod prestasi yang baik dari segi kepelbagaian keseimbangan jantina.

Dalam pada itu, Najib bagi pihak CIMB juga mengumumkan dasar baharu bekerja dari rumah untuk satu hari dalam seminggu bagi kakitangan wanita yang bergelar ibu sempena Hari Wanita Antarabangsa 2018 dan pengumuman ini menggembirakan kira-kira 2,000 kakitangan CIMB.

Objektif dasar ini adalah untuk memudahkan kakitangan wanita yang mempunyai anak di bawah usia lima tahun mengekalkan kerjaya mereka dan menjadi tenaga kerja yang penting bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Dan saya menganggap anda dibayar untuk satu hari itu. Kemudahan ini ditambah pula dengan cuti bersalin selama sebulan yang diumumkan oleh CIMB untuk mereka yang menjadi bapa buat kali pertama.

Seterusnya, menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dan bilik kejururawatan di tempat kerja dan membenarkan kakitangan mengambil cuti bersalin selama setahun,” kata beliau.

Najib juga mengumumkan Program Peremajaan Kakitangan CIMB yang membenarkan pekerja mengambil cuti tanpa gaji atas sebab-sebab peribadi seperti menjaga anak atau ahli keluarga yang sakit, melanjutkan cuti bersalin atau berehat dalam kerjaya tanpa menjejaskan kedudukan dan kekananan kakitangan.

“Tahniah kepada CIMB. Kami berharap organisasi lain akan mencontohinya dan gembira untuk menyambut hari wanita antarabangsa. Saya bersetuju kita harus meraikan wanita bukan hanya dengan menyatakan kita meraikan wanita tetapi dengan benar-benar memperkasakan wanita dan memastikan mereka menjawat kedudukan penting dalam setiap aspek masyarakat,” kata beliau. – MY WD