KUALA LUMPUR, NOVEMBER 9: SEWAAN ISTERI…Berdasarkan surat terbuka yang ditulis oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pengarah drama Isteri Untuk Disewa, Osman Ali berterima kasih dan menerima baik teguran berhemah daripada mufti tersebut.

Menurut Osman, dia mengakui bahawa tajuk novel dan drama tersebut boleh disalah tafsirkan jika tidak menonton atau membaca keseluruhan cerita.

“Dalam cerita ini langsung tiada unsur sewa menyewa isteri.  Cuma tajuk tersebut telah mengundang orang ramai untuk tersalah tafsir dengan tema cerita.

“Memandangkan ianya adalah tajuk asal novel, maka kami tidak bercadang untuk tukar tajuk lain demi untuk kekalkan originaliti. Walaupun saya ada juga menyimpan beberapa tajuk lain sekiranya perlu ditukarkan sebelum ini,” katanya.

Tambah Osman, pihak mufti telah memberikan pandangan dan teguran yang baik maka dia amat menghormati cuma dia mengharapkan agar pihak netizen yang tidak pernah membaca dan menonton drama ini, agar tengok dan fahami dulu sebelum mengecam.

“Sejelasnya langsung tiada unsur sewaan isteri dalam novel dan juga drama ini sebaliknya hanya berkisahkan seorang wanita diupah untuk menyamar sebagai isteri.  Hanya menyamar di depan ayah dan ibu buat sementara dia bertemu jodoh sebenar,” jelas Osman.

Ditanya pula mengenai mungkinkah tajuk drama ini akan ditukar?  Osman memberitahu setakat ini masih kekal dan belum dapat apa-apa keputusan dari pihak atasan.

“Cuma kita akan lebih peka dan lebih berhati-hati jika ada sebarang elemen yang bercanggahan dengan fiqh terdapat dalam drama ini,” kata Osman akur. – MY WD