Tiba Masanya Gerakan Rampas Semula P.Pinang – TPM Ahmad Zahid

0
75

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) merupakan masa yang terbaik untuk Gerakan merampas semula Pulau Pinang.

Ahmad Zahid menaruh keyakinan itu kerana ia tidak mustahil selepas kerajaan negeri DAP mengabaikan kebajikan masyarakat Pulau Pinang, hingga memusnahkan alam sekitar negeri tersebut.

Tegas beliau, ia berbeza dengan Gerakan dan kesemua parti komponen BN yang buta warna termasuk mengenepikan kepentingan politik dalam membantu semua masyarakat.

“Kekalahan Gerakan di Pulau Pinang dalam PRU12 pada 2008, hanyalah bersifat sementara. Kita akan merampas semula negeri itu dalam pilihan raya akan datang yang bakal diadakan kurang dari 180 hari.

“Rampasan kuasa di Pulau Pinang itu sebagai tanda tanggungjawab kerajaan BN untuk membela kebajikan rakyat, buktinya kita buta warna malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut turun padang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Nasional Ke-46 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik Menara Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM), di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Memetik kejayaan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang mencatat kemenangan lebih besar pada pilihan raya umum negara itu baru-baru ini sebagai contoh, Ahmad Zahid berkata peristiwa itu menunjukkan bahawa adalah tidak mustahil untuk BN menang dengan lebih besar jika semua parti komponen mengembleng dan memperkukuhkan kerjasama mereka.

Tegasnya, kerjasama erat antara semua parti-parti komponen adalah penting dalam membawa dan memastikan kejayaan lebih besar kepada BN nanti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata lebih 87 peratus janji-janji kerajaan BN dalam Aku Janji telah berjaya ditunaikan sejak 2013, berbanding dengan pembangkang yang hanya mampu menabur janji kosong.

Katanya, usaha-usaha ini akan diteruskan dan parti-parti komponen BN harus bekerja keras memastikan ia diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada BN pada PRU14 nanti.

“Jika kita lihat, walaupun prestasi kita pada PRU11, PRU12 dan PRU13 merudum, tetapi graf ini boleh berubah. Yang tidak boleh kita ubah hanya jika kita tidak berusaha,” katanya.

“Justeru, kali ini saya seru kepada rakyat, cukup la, kita tolak (DAP), berilah kepercayaan semula kepada Gerakan dan parti lain dalam BN pada PRU14 nanti,” kata Ahmad Zahid.

Menyentuh mengenai banjir besar yang melanda Pulau Pinang pada 5 Nov lepas, Timbalan Perdana Menteri berkata bencana itu membuktikan BN adalah buta warna dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat.

Malah ia juga tidak berlengah dalam menggerakkan misi kemanusiaan ke negeri itu.

Katanya skala kemusnahan yang dialami tidak akan sebegitu besar jika kerajaan negeri itu mengutamakan pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan adalah dirancang dengan baik.

“Saya buta warna dalam beri bantuan kepada mangsa banjir. Ini sikap kita dalam BN. kita tak politikkan isu ini, kita tak ambil kesempatan,” kata beliau.

 

Katanya apa yang berlaku juga menunjukkan sudah sampai masa untuk BN mengambil balik Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga mengingatkan Gerakan supaya memperkukuhkan unit media sosial jentera pilihan rayanya dalam menangkis berita palsu dan kebencian yang disebar pihak pembangkang untuk memburukkan parti tersebut.- WD MY