KUALA LUMPUR, 25 Jan – Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi jaminan Malaysia tidak akan memberi ruang kepada sebarang usaha penyusupan anasir keganasan serta mereka yang berhasrat melakukan kekacauan.

Menurut Najib negara ini mempunyai undang-undang yang akan melindungi keselamatan dan ketenteraman rakyatnya.

“Ada undang-undang untuk melindungi kita, niat dan usaha yang berhasrat mengebom, menyeksa dan memancung tidak langsung mempunyai peluang mengatasi masyarakat yang mahukan keamanan serta menentang keganasan dan peperangan,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Deradikalisasi dan Memerangi Ekstremisme Keganasan 2016 (IDC 2016) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa menteri lain seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Shahidan Kassim dan beberapa lagi timbalan menteri turut hadir.

Persidangan dua hari itu dihadiri semua menteri ASEAN dan sembilan menteri negara rakan strategik iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Australia, United Kingdom, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, China dan Itali. – Suraya Ahmad ( WD MY)

LEAVE A REPLY