KUALA LUMPUR, FEB 19 – TIDAK BENAR…Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat Malaysia seharusnya tidak terpengaruh dengan tomahan yanng dilemparkan oleh pihak pembangkang yang mengatakan bahawa kerajaan tidak menyediakan subsidi untuk rakyat kerana tohmahan tersebut adalah tidak benar sama sekali.

Najib menegaskan, bahawa kerajaan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memberikan subsidi dalam pelbagai sektor. Malah perdana menteri berkata beliau mendengar seruan meminta kerajaan menyediakan subsidi untuk rakyat mengurangkan kos sara hidup, kata perdana menteri.

“Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak, dan banyak lagi.

“Selain subsidi untuk barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan. Kerajaan juga memperuntukkan subsidi kesihatan yang tinggi setiap tahun,” katanya menerusi catatan di blog rasmi www.najibrazak.combeliau, hari ini.

Najib turut menjelaskan peruntukkan sebanyak RM26.5 bilion disediakan untuk penjagaan kesihatan pada 2018 meskipun kutipan dalam sektor itu hanya RM600 juta, menjadikan perbelanjaan selebihnya ditanggung penuh kerajaan.

Sejak 2012, beliau berkata yuran wajib dikecualikan sepenuhnya di sekolah kerajaan dan kerajaan turut membiayai kira-kira 90 peratus daripada yuran pengajian universiti.

“Contohnya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885. Namun selepas subsidi, pelajar hanya perlu membayar yuran RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.”

“Ini satu lagi contoh bagaimana subsidi pendidikan disalurkan,” katanya.

Selain itu, kerajaan turut membantu rakyat untuk memiliki rumah iaitu dengan menyediakan subsidi dalam bentuk bantuan deposit iaitu Skim MyDeposit dan subsidi rumah kos rendah seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua Felda, Rumah Bina Negara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan banyak lagi. – MY WD