JOHOR BAHRU, 27 Feb –  Nafi…… Bekas Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim, menafikan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berkaitan rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor.

Ismail ketika dihubungi hari ini, menafikan dakwaan yang tersebar luas kononnya beliau antara penjawat awam kerajaan negeri yang dipanggil SPRM untuk memberi keterangan berhubung kes berkenaan.

“Tak ada (dipanggil SPRM beri keterangan). Saya tak ada kena mengena dengan isu ini,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, tinjauan sehingga jam 12 tengah hari tadi termasuk di Pejabat Setiausaha Kerajaan Bahagian Perumahan dan Pejabat Tanah Galian di Kota Iskandar di sini, mendapati tiada pegawai atau anggota SPRM memasuki kawasan berkenaan walaupun khabar angin menyatakan pihak SPRM akan menyerbu pejabat terbabit.

Jumaat lalu, SPRM menahan enam individu kerana dipercayai terbabit dalam skandal rasuah dan penyelewengan berkaitan hartanah di Johor.

Suspek berusia antara 25 dan 50 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di Johor Bahru dalam operasi serentak yang dilancarkan SPRM kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurut sumber SPRM, semua suspek yang ditahan itu dipercayai terbabit dalam penipuan penukaran status rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera sejak tahun 2013. – WD MY