Tidak Jejas Sokongan BN Untuk Pilihanraya Negeri Sarawak

0
67

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Tindakan kumpulan yang menandatangani
deklarasi rakyat tidak akan menjejaskan sokongan pengundi kepada
Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau
yakin rakyat Sarawak cukup matang dan tahu bahawa kerajaan di bawah kepimpinan
BN mampu melaksanakan mandat yang diberi serta membawa kemajuan kepada negeri
itu.

“Apa yang dia (bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) hendak
lakukan, saya pun tidak tahu. Dan ia tidak akan menjejaskan (BN pada PRN
Sarawak),” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pecah tanah surau
komuniti Acheh dan sambutan Maulidur Rasul masyarakat Acheh dan Melayu peringkat
kebangsaan di Kampung Baru, di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata tindakan Dr Mahathir bersekongkol dengan
pemimpin-pemimpin pembangkang yang sebelum ini didakwanya “tidak boleh pakai” ,
turut menimbulkan kekeliruan.

Ditanya sama ada Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat mengenai
tindakan yang akan diambil terhadap bekas pemimpinnya yang turut menandatangani
deklarasi itu, Tengku Adnan berkata UMNO tidak akan mengadakan sebarang
mesyuarat.

“Kenapa kita (UMNO) hendak bermesyuarat. Kepada UMNO ini tidak menjadi
kudis. Kita akan buat cara kitalah iaitu meneruskan mandat yang diberikan oleh
rakyat kepada kerajaan BN yang sah untuk terus mentadbir negara ini,” katanya.

Tengku Adnan berkata: ” Kita tidak perlu gusar dan bimbang, kita perlu
percaya bahawa sebagai sebuah kerajaan, kita bertanggungjawwab kepada rakyat.
Jadi kita akan melaksanakannya.” – Sharini Abdulah (WD MY)