IPOH, 2 Okt – Tidak Kecil Hati…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak tersinggung atau kecil hati dengan isu kesalahan sebutan bahasa Inggeris ketika berucap dalam Perbahasan Umum Ke-71, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York baru-baru ini sebagaimana yang menjadi viral di laman sosial khususnya di portal berita dan blog pro pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, isu sebutan itu bukanlah satu isu yang akan mengakibatkan beliau kecil hati, sebaliknya sikap rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di negara ini tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu lebih membuatkan beliau berkecil hati.

“Tak betul satu dua patah sebut perkataan bagilah dua tiga kali…nanti dia akan lebih bagus daripada orang itu (yang bertutur dalam bahasa itu sendiri).

“Saya tidak ambil itu sebagai satu perkara yang menyebabkan saya kecil hati…yang saya kecil hati adalah kalau orang itu lahir di sini (Malaysia) besar di sini, berada di sini tapi tak mahir cakap Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ipoh Barat, di Bangunan UMNO Negeri di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian Ipoh Barat, Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar.

Beberapa laman portal berita yang pro pembangkang sebelum ini dilihat memperbesarkan isu sebutan bahasa Inggeris ketika Ahmad Zahid memberikan ucapan dalam Perbahasan Umum Ke-71, di UNGA yang kemudian menjadi subjek ejekan di media sosial kerana dikatakan tidak fasih berbahasa Inggeris.

Ahmad Zahid berkata, rakyat Malaysia yang sudah lama menetap di negara ini tetapi tidak menguasai bahasa Melayu dengan baik sepatutnya malu dengan warga asing di negara ini yang lancar dan fasih berbahasa Melayu meskipun hanya menetap di negara ini untuk tempoh beberapa tahun sahaja.

“Orang Bangladesh yang tinggal di sini dalam sepanjang tempoh dua tahun setengah pun tahu berbahasa Melayu dengan fasih…ini (rakyat Malaysia) sudah 25 tahun pun tak pandai cakap bahasa ibunda.

“Saya tak nak sentuh soal bangsa tetapi saya mengatakan ini secara umum, kita orang Malaysia di lahirkan di Malaysia, di mana bumi dipijak di situ langit kita junjung,” katanya.

Sementara mengulas cadangan UMNO Bahagian Simpang Renggam yang mencadangkan supaya kerusi di kawasan majoriti Melayu diserahkan kepada UMNO manakala kerusi di kawasan majoriti Cina atau India diserahkan kepada parti komponen yang berkenaan,

Ahmad Zahid berkata, cadangan itu dilihat tidak relevan kerana UMNO sebagai parti utama perlu berlaku adil kepada semua pihak.

“Walaupun UMNO ditubuhkan untuk memperjuangkan bangsa Melayu tetapi kita tidak pernah mengetepikan agama dan bangsa lain dan kita perlu berlaku adil kepada semua kerana itu cara kita berkongsi kuasa,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY