LANGKAWI, 29 Okt – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak boleh dipersalahkan atas kegagalan sebuah syarikat kawalan keselamatan untuk membuat saringan ke atas pekerja mereka yang mempunyai rekod jenayah.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata semua syarikat kawalan keselamatan telah diberikan garis panduan tentang tanggungjawab yang perlu dipenuhi mereka dalam mengambil pekerja.

“KDN telah menetapkan syarat-syarat ketat berhubung pengambilan pekerja oleh syarikat kawalan keselamatan seperti mewajibkan ujian saringan bagi tiap-tiap individu (yang memohon menjadi pengawal keselamatan),” katanya.

Ahmad Zahid ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN Mengenai Dadah ke-4 hari ini.

Katanya KDN turut menjalankan proses pengauditan terhadap semua syarikat kawalan keselamatan bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes seorang pengawal keselamatan yang menjadi suspek kes rogol dan bunuh seorang pelajar tingkatan lima di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Ahad lepas.

Ahmad Zahid berkata KDN yang telah mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap syarikat berkenaan sehari selepas kejadian itu dan telah memberikan tempoh tujuh hari untuk memberikan jawapan.

Menurutnya. jika syarikat itu gagal menjawab dalam tempoh itu atau memberikan jawapan yang tidak memuaskan, tindakan untuk membatalkan pendaftaran mereka akan dilaksanakan.

Pihak kementeriannya tidak akan bertolak-ansur dalam tindakannya sekiranya terdapat unsur-unsur kecuaian di pihak syarikat berkenaan dalam proses pengambilan pengawal keselamatan mereka.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mereka yang didapati cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY