KOTA BELUD, 10 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
hari ini berkata kerajaan tidak mahu kontroversi urusan pembelian sebidang tanah
oleh Tabung Haji daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipanjangkan.

Menurut beliau, ini kerana isu itu telah diputar-belitkan untuk memperlihatkan seolah-olah
dalam urusan itu Tabung Haji telah menggunakan wang pendeposit untuk menyelamatkan
1MDB daripada masalah kewangan.

“Kami tidak mahu kontroversi ini dipanjangkan kerana ia akan mengambil
banyak tenaga kami dari segi memberi tumpuan terhadap beberapa daripada
program-program besar yang kami cadang untuk laksanakan,” katanya kepada
media selepas melancarkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Belud di sini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Tabung
Haji bahawa ia akan menjual semula tanah yang dibeli daripada 1MDB.

Najib berkata menjual tanah itu kepada sektor swasta merupakan urusan
komersial yang baik, membolehkan Tabung Haji mengaut untung beberapa juta
ringgit dalam tempoh singkat.

“Jadi, ia bukan langkah untuk menyelamatkan (1MDB). Tiada syarikat akan
membeli sesuatu projek jika syarikat itu akan rugi,” katanya.

Semalam, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata
Tabung Haji mengambil keputusan untuk menjual semula tanah seluas 0.66 hektar
bernilai RM188.5 juta di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala
Lumpur, selepas menerima tawaran daripada beberapa pembeli yang berminat.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY