KUALA LUMPUR, 27 Feb – PENDAPAT…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata walaupun pendapat yang dibuat terdapat perbezaan, tidak seharusnya mengetepikan kepentingan nasional.

Sebaliknya pandangan dan kenyataan yang dikeluarkan khasnya tokoh terhormat perlu mengambil kira demografi dan kepelbagaian masyarakat negara ini.

“Pada hemat saya, kita tidak perlu membangkitkan sesuatu yang boleh menyebabkan sesuatu kumpulan atau seseorang berasa terhentak hati dengan pandangan itu.

“Apabila seseorang itu berada di peringkat antarabangsa yang seharusnya dihormati, (beliau) tidak seharusnya memihak kepada satu kumpulan saja,” katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Institut Kepimpinan dan Strategi Asia malam tadi.

Beliau mengulas isu penulis blog www.malaysia-today.net Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa taikun dan pengasas Kuok Group, Robert Kuok, menyalurkan dana kepada pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan. – WD MY