WASHINGTON, 18 Julai – Tembakan…… Lelaki bersenjata menembak mati tiga anggota polis dan mencederakan tiga yang lain di Baton Rouge, ibu negeri Louisiana, kejadian terbaharu keganasan yang menyasarkan anggota keselamatan.

Pegawai polis di Baton Rouge terus bergegas sebaik menerima maklumat mengenai seorang lelaki membawa senjata api melepaskan tembakan kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan.

Dua pegawai polis Baton Rouge dan seorang Timbalan Sheriff terbunuh dalam kejadian itu.

Lelaki bersenjata turut terbunuh sebaik cuba melepaskan tembakan ke arah kumpulan pertama anggota polis yang tiba di tempat kejadian, kata Kolonel Mike Edmonson, superintendan polis di Louisiana State dalam sidang akhbarnya hari ini.

Suspek dikenal pasti sebagai Gavin Long dari Kansas City, Missouri, yang dipercayai bertindak bersendirian.

Setakat ini masih tidak jelas sama ada kejadian berkenaan ada kaitan dengan kejadian tembak menembak dan penahanan ekoran kejadian polis membunuh lelaki berkulit hitam sebelum ini.

Presiden Barack Obama mengutuk keras serangan terbaharu itu dan mahu keadilan dilaksanakan.

Gabenor Louisiana, John Bel Edwards menyifatkan kejadian tembakan itu sebagai tidak bertamadun dan amat mengejutkan. – WD MY

LEAVE A REPLY