MACHANG, 22 Feb – KEMALANGAN…. Tiga beranak maut selepas Perodua Alza yang mereka naiki dirempuh sebuah pikap di Kilometer 33, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Labok, hari ini.

Dalam kemalangan jam 12.30 tengah malam tadi, Siti Nur Alyaa Izzati Shaikh Rahim, 23, dan bapanya, Shaikh Rahim Shaikh Abdullah, 56, maut di tempat kejadian, manakala Tengku Fariza Tuan Mat, 52, meninggal dunia di Hospital Machang.

Anak perempuan Shaikh Rahim, Siti Nur Amanina, 21, serta pemandu pikap Mitsubishi Triton, Tasbiha Abdul Manaf, 27, cedera dan menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abd Ghani, berkata siasatan awal mendapati Mitsubishi Triton dipandu Tasbiha memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Alza dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu, sehingga menyebabkan kereta mangsa berpusing dan terbalik.

“Kemalangan itu menyebabkan dua ahli keluarga meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan, “katanya ketika dihubungi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – WD MY