Tiga Buah Buku Dikenakan Perintah Larangan Oleh KDN

0
55

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan tentang
mewartakan Perintah Larangan terhadap pencetakan, penerbitan dan pengedaran dua
buku berunsur keagamaan dan sebuah buku berunsur lucah yang boleh memudaratkan
ketenteraman awam dan memudaratkan kemoralan, berkuatkuasa 23 Jun lepas.

Menurut Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik
Jaafar dalam satu kenyataan, kandungan buku itu didapati mengandungi
unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah masyarakat Islam, menyebarkan ajaran
syiah dan berunsur lucah, di negara ini.

Dua buku agama yang berbahasa Indonesia itu bertajuk “Doa Jausyan Shaghir”
yang terkandung (Doa Yastasir, Doa Simat, Doa Masylul, Doa Adilah, Ziarah Jami
Al Kabir) diterbitkan oleh Zahra Publishing House, dan “Doa Nudbah, Doa
Ahd, Doa Faraj (Keluasan), Doa Ziarah dan Doa untuk Kegaiban Imam Mahdi” juga
diterbitkan oleh Zahra Publishing House.

Manakala, sebuah lagi buku novel berbahasa Mandarin “To Love Ru Darkness”
terbitan Tongli Publishing Co. yang berunsur lucah.

Menurutnya, pewartaan Perintah Larangan itu adalah menurut Seksyen 7(1) Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut subseksyen 2 Seksyen 8 akta sama, mana-mana pihak yang mencetak,
mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar,
mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki penerbitan adalah
melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara selama tempoh tidak
melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,”
katanya. – Sharini Abdulah (WD MY)