JOHOR BAHRU, 25 Sept – TERBAKAR…. Tiga kereta yang diletakkan di Jalan Jim Quee, Kompleks Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ), dekat sini, terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.

Bagaimanapun, identiti pemilik ketiga-tiga kereta masih belum dikenal pasti.

Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Mansor Mohamad, berkata tiga kenderaan terbabit ialah jenis Nissan Almera dan Perodua Viva yang terbakar sepenuhnya, selain Perodua Viva yang lain hanya terbakar kira-kira 5 peratus.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.31 pagi sebelum menggerakkan lapan anggota ke tempat kejadian.

“Pihak bomba masih belum mendapat maklumat mengenai pemilik kereta, selain punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – WD MY