KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Tiga Ditahan…….Polis Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kumpulan militan IS dalam operasi berasingan sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang antara Sabtu lalu dan kelmarin.

Tiga suspek itu didapati menganggotai sel pengganas yang sama dan menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan pada malam Ambang Merdeka 2016 menggunakan bom tangan dan senjata api.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata antara lokasi sasaran serangan mereka adalah pusat hiburan di ibu negara, kuil hindu di Batu Caves serta balai polis dan anggota polis.

“Tangkapan pertama 27 Ogos lalu membabitkan seorang pemandu lori berusia 20 tahun di Selangor. Sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol jenis CZ 2075 RAMI dan 24 butir peluru berukuran 9 milimeter (MM) turut dirampas daripadanya.

“Senjata api itu dipercayai dihantar oleh orang perantaraan (kurier) Mohamad Wanndy di negara ini,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan Bukit Aman, tadi.

Katanya, suspek kedua yang juga penjual daging berusia 27 tahun ditangkap dalam operasi di Pahang, manakala suspek ketiga berusia 20 tahun yang bekerja sebagai penjual air ditangkap di Selangor.

Kedua-duanya ditahan pada 29 Ogos lalu.

Menurut Khalid, ketiga-tiga suspek didapati merancang pergi ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS di bawah pimpinan Mohamad Wanndy di sana selepas berjaya melancarkan serangan itu.

Semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – WD MY

LEAVE A REPLY