SERDANG, 16 JUN – DERA….. Tiga beranak termasuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditahan semalam kerana disyaki melakukan penderaan ke atas dua kanak-kanak, di Pusat Bandar Puchong, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata mangsa yang juga pasangan adik-beradik berusia tujuh dan lapan tahun itu diselamatkan tidak lama selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kejadian kira-kira jam 12.48 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek mempunyai hubungan persaudaraan dan sudah tujuh tahun tinggal bersama selepas kedua-dua ibu bapa mereka berpisah.

“Suspek yang ditahan seorang lelaki berusia 33 tahun berkerja sebagai penghantar gas, isterinya berusia 30 tahun dan anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun.

“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek berjaya menemukan satu kayu cota, satu garpu perak dan sebatang paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya.

Katanya, pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa mengalami kesan dera hampir di seluruh badan selain dipercayai kurang zat badan dan kini dirawat di Hospital Serdang bagi pemeriksaan lanjut.

“Permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak Kanak 2001,” katanya. – WD MY