BAGAN DATUK, 18 Feb – TELTI…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedang meneliti tiga elemen utama sebelum membuat keputusan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) peristiwa Memali.

Menurut Ahmad Zahid, ia membabitkan isu sama ada terdapat arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penembakan sehingga mengakibatkan kematian terhadap penceramah bebas, Ibrahim Mahmud atau dikenali Ibrahim Libya, serta ramai yang lain.

“Elemen kedua ialah berdasarkan kepada arahan dengan harapan ia bukan berunsur politik tetapi berdasarkan kepada soal keselamatan.

“Ketiga, kita mahu melihat jika ada unsur penganiayaan, maka tugas RCI untuk menyiasat siapakah orang yang jadi tokoh penting mengarahkan (tindakan penganiayaan) ini dibuat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap pada sidang media selepas Program Santai Makan Tengah hari Timbalan Perdana Menteri Bersama Bikers PDRM dan Warga PDRM/KDN di Balai Polis Hutan Melintang hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menyertai menyertai Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Hari Polis ke-211. – WD MY